di sebalik ria wajah mama...

Alhamdulillah, dengan izin yang Maha Esa, abang saya selamat diijab-kabulkan petang semalam. mendengar riuh rendah suasana menyediakan kelengkapan sebelum majlis membuatkan saya terasa-rasa akan suasana riang gembira di rumah. hati ini melonjak-lonjak ingin pulang ke pangkuan keluarga tercinta. bertemu mata dengan sanak saudara di samping bertukar khabar berita adalah perkara yang saya paling suka lakukan. terbayang-bayang kemesraan yang hadir menghiasi tatkala duduk bersama.

Dalam gembira suasana menyambut ahli keluarga baru, terdetik di hati saya yang hati mama pasti ada terselit duka. duka yang mungkin barangkali hanya dapat dimengerti oleh anak-anaknya. mama mengkhabarkan di dalam talian kepada saya yang dapat hadir sama merasakan debaran pengantin hanyalah saudara terdekat sebelah ayah sahaja. atuk dan nenek bersama-sama saudara pihak mama tidak dapat hadir bersama memeriahkan suasana. atuk masih terlantar di hospital. masakan bisa ia dapat menyertai keramaian itu. jarak perjalanan perak-kedah bukannya sebarang dekat. kurang-kurang mahu juga 3 jam perjalanan. ini pun anggaran perjalanan seperngalaman saya dipandu abah balik kampung dengan kelajuan 150 km/j atau lebih. tambahan pula kaki atuk tidak tahan perjalanan jauh. akan lenguh-lenguh dan menggangu perjalanan darah di kakinya yang sekian lama membengkak itu.

terkenang saya ketika peristiwa abah dilanda kemalangan jalan raya sekitar 3 tahun lepas. dengan kecederaan yang agak parah menuntut abah untuk lama di hospital. mamalah yang siang malam menjaga abah, ke sana ke mari dari makmalnya ke wad abah. jarak makmal mama ke wad abah tidaklah sedekat mana walaupun dalam satu kawasan kompleks hospital. tidur mama tidak menentu. kakinya lenguh-lenguh akibat ke sana ke mari tiada henti. rumah tiada siapa yang mengurus memandangkan saya dan adik berada di asrama ketika itu. segalanya menjadi kelam kabut ketika itu. kasihan mama.

setelah lebih kurang hampir sebulan setengah abah terlantar di hospital, barulah saya berkesempatan pulang ke rumah. namun, ini bukan pertama kali saya akan bertemu abah sejak abah dilanda kemalangan kerana saya pernah dibawa ibu saudara saya bertemu dengan abah ketika rawatan matanya yang cedera akibat kemalangan di hospital selayang. sayu hati tatkala tiba di lapangan terbang alor setar bila memikirkan tiada siapa yang bakal menyambut saya kerana semua ahli keluarga pasti sibuk dengan abah di hospital. melihatkan sahabat-sahabat saya disambut dengan tawa riang dan hangat pelukan keluarga hampir membuatkan air mata saya menitis di kala itu. namun, hati ini saya kuatkan.

di celah-celah keramaian manusia, telinga saya sempat menangkap jeritan riang kanak-kanak memanggi-manggil nama saya. gembira bukan kepalang saya melihat sepupu-sepupu yang masih kecil bersama dengan pakcik yang merupakan adik bongsu ayah datang mengambil saya di airport. sekurang-kurangnya ada juga pengubat rawan di hati. segera saya sembunyikan kesedihan yang bertandang sebentar tadi. sebelum pulang ke rumah, saya dibawa berjumpa abah walaupun ketika itu di luar waktu melawat. nasib menyebelahi kerana mama saya adalah kakitangan hospital. akan tetapi, saya tidak banyak bercakap ketika bertemu abah. sebak menghiasi dada melihatkan abah yang selama ini sihat dan aktif terlantar di ruang hospital walaupun abah cuba menceriakan suasana menyambut kepulangan saya. sempat saya menghadiahkan abah senaskah buku sirah nabawiyah kepada abah sebelum pulang sebagai pengisi masa lapangnya di hospital.

hampir separuh dari dua minggu cuti penggal saya habiskan dengan menjaga abah di hospital. saya hanya menjaga abah waktu siang memandangkan mama bekerja ketika itu dan sejurus tamat sahaja waktu kerjanya, mama kan pasti datang menjaga abah. itulah rutin harian mama. saya dapat merasakan keletihan mama. melihat wajahnya sahaja sudah membuatkan saya seperti hendak menggalas bersama beban yang mama tanggung.

suatu malam, ketika giliran abang saya yang menjaga abah di hospital, saya dan mama tinggal di rumah bersama-sama sepupu-sepupu yang menyambut saya di airport tempoh hari. ketika saya sibuk menguruskan makan malam di dapur, telefon di ruang tamu tiba-tiba berdering, dan diangkat oleh sepupu saya yang ketika itu sedang menonton tv. katanya panggilan dari kampung yang ingin bercakap dengan mama. saya meminta sepupu saya itu memanggil mama sendiri di biliknya memandangkan saya sedang sibuk ketika itu. seketika kemudian, sepupu saya itu datang semula kepada saya meminta saya menjawab panggilan kerana mama tidak keluar bilik walaupun telah dipanggil berkali-kali. suara atuk menghiasi ruang telefon tatkala saya mengucapkan salam. atuk memberitakan keadaannya yang ditahan di hospital dan meminta saya maklumkan hal itu kepada mama. selesai mengucapkan salam menutup bicara, saya bergegas menemui mama di biliknya. namun, bilik mama gelap. hanya cahaya suram dari tv yang terpasang menghiasi kamar itu. terpempan saya seketika mendengar mama teresak-esak....

sungguh inilah pertama kali saya melihat mama menangis setelah saya menginjak remaja. tangis mama bukan tangis yang dibuat-buat. tangisnya begitu hiba dan sayu. luluh hati saya mendengarnya walaupun saya tidak mengetahui butir bicara mengapa mama menitiskan air mata. perlahan-lahan saya memeluk tubuh mama. mendakap mama penuh kasih sayang. perlahan-lahan saya khabarkan pada mama perihal atuk sebentar tadi. tangisan mama semakin tak tertahan-tahan. panik saya dibuatnya. pelukan saya semakin erat untuk meredakan ketegangan yang melanda.


"ila, mama dah tak sanggup tanggung semua ni. sudahlah abah sakit, atuk pulak masuk hospital. mana mama mampu tanggung semua ni. mama dah tak larat. kaki mama pula sakit, ila." keluh mama bersama tangisannya. air mata saya menderu laju. seolah-olah terbayang di wajah saya akan tanggungjawab mama ketika itu sebagai isteri kepada suami yang terlantar di hospital dan juga tanggungjawabnya sebagai anak kepada bapa yang sakit.

saya mencari kekuatan dalam diri untuk meluahkan kata-kata penyejuk hati mama. teringat pesan seorang sahabat ketika saya meluahkan rasa sewaktu awal-awal mengetahui abah dilanda kemalangan. dengan tangis hiba, saya juga meluahkan perkara yang sama terhadap sahabat itu, tentang ketidak mampuan saya dengan ujian seberat ini. alhamdulillah, sahabat saya itu meniupkan semangat saya kembali dengan ayat-ayat Allah. sungguh terkesan oleh saya bila Allah berfirman bahawa Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (Al-Baqarah: 286). kerana Allah tahu saya mampu menghadapi ujian seberat inilah Allah turunkan ujian ini kepada saya.

ayat ini juga yang saya tuturkan untuk mama. saya kuatkan kembali semangat, menanamkan keyakinan kepada mama segalanya akan pulih seperti sedia kala dan memintanya bersabar menghadapi ujian ini serta berjanji akan sentiasa mama di saat susah dan senang mama. saya minta mama doakan yang terbaik untuk abah dan juga atuk, minta agar segala urusan keluarga kami Allah permudahkan. malam itu, walaupun penuh dengan tangisan, namun saya rasa bahagia berada dalam pelukan mama, bersama-sama berkongsi rasa anak dan mama. dalam hati saya diam-diam berdoa yang baik-baik untuk keluarga kami.

peristiwa abah ditimpa kemalangan banyak mengajar keluarga saya erti ketabahan, kecekalan dan kematangan dan pengorbanan. abang, yang saya kenali dengan sikapnya yang masih belum bersedia memikul tanggung jawab menunjukkan perubahan yang amat membanggakan kepada sesiapa yang mengenalinya. abang memikul amanah ketua keluarga sepanjang ayah di hospital. abang juga lah yang menggantikan tugas abah sementara sebagai penggerak nursery keluarga. abang banyak belajar, membina kematangan seterusnya meningkatkan kemampuannya untuk menguruskan nursery keluarga di saat umurnya baru menjejak 22 tahun.

setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah yang Maha Penyayang kerana mengurniakan ujian yang sebenarnya menghadiahkan seribu satu kemanisan kepada keluarga saya saat ini. ujian yang mematangkan dan yang membuatkan kami banyak belajar darinya. dari peristiwa itu, saya tekad mahu jadi setabah dan secekal mama, wanita yang akan saya kagumi dan menjadi contoh kepada saya bagaimana mengharungi kehidupan berumah tangga kelak.

hari ini, dengan rahmatNya, abah sudah kembali sihat seperti sedia kala dan semakin giat mengusahakan perniagaannya. mama pula sentiasa di sisi abah memastikan perniagaan keluarga berjalan lancar. begitu juga abang, antara tenaga utama dalam perniagaan keluarga. abang juga saya doakan agar bahagia bersama rumah tangga yang dibinanya itu. saya juga doakan abah dan mama gembira dengan menantunya. sentiasa saya titipkan dalam doa seusai solat agar abang, saya dan adik akan menjadi anak-anak yang soleh buat mama dan abah.

kala ini, saya hanya menanti hari untuk pulang menemui wajah-wajah kesayangan saya itu. saya mohon agar Allah akan terus melebarkan rahmat dan kasih sayangnya kepada keluarga saya. insyaAllah, dengan rahmatNya juga akan saya berusaha agar mereka memahami ajaran deen ini. ameen


pengenalan gambar: dari kiri - nana (adik), yop (abang), atuk, opah, saya, mama, dan abah.

4 comments:

  Anonymous

29 May 2007 at 01:09

hehehe...memula aku bace tertinggal perkataan abang, jadi :

"Alhamdulillah, dengan izin yang Maha Esa, saya selamat diijab-kabulkan petang semalam."

tokojut den
:D

  nor dalila

29 May 2007 at 16:21

ohoho... entry sebegitu didoakan akan muncul juga. insyaAllah. kekeke

  Anonymous

30 May 2007 at 02:51

ni anti tulis sendiri ke dell? awat tak buat kisah sendiri je? hehehehhe

  nor dalila

30 May 2007 at 03:50

iyer kak aisyah... saya tulis sendiri le cerita nih... kisah sendiri? heheh lambat lagik kot.