-dedikasi buat guru-guru dan rakan-rakan bakal pendidik-

Ditulis oleh seseorang yang saya amat kagumi... =)


Diinsafi bahawa penciptaan langit dan bumi dan sekalian alam semesta menunjukkan tanda-tanda kebesaran dan keagungan dan kebibijaksanaan Penciptanya.

Diciptakan manusia sebagai sebaik-baik makhluk ciptaan yang dikurniakan keupayaan gerak daya berfikir dan mengenal Penciptanya menerusi pengamatan terhadap ciptaan-ciptaan dan pengamatan terhadap hakikat dirinya sendiri di samping bimbingan Pencipta menerusi wahyuNya yang benar. Pengenalan dan pengiktirafan akan hakikat diri insan, hubungannya dengan Pencipta dan peranannya di samudera semesta inilah yang mengangkat darjat seseorang daripada yang terhina antara yang hina ke makam asalnya yang tinggi sebaik-baik makhluk.

Inilah makna dan matlamat pendidikan. Pendidikan membawa diri kepada kebenaran. Pendidikan mengenalkan diri dengan ilmu dan hakikat. Pendidikan ialah pengenalan dan pengiktirafan diri kepada kedudukan-kedudukan yang benar dalam susunan penciptaan yang zahir mahupun yang tidak zahir. Pendidikan mengenalkan dirinya kepada dirinya dan kedudukan dan sifat yang benar untuk dirinya. Pendidikan membawa kepada pengenalan dan pengiktirafan kedudukan yang benar akan Tuhannya dalam aturan kejadian-kejadian dan kewujudan-kewujudan . Pendidikan mengenalkan diri kepada Yang empunya diri. (Rujukan: The Concept of Education in Islam, Syed Muhammad Naquib Al-Attas)

Diri yang terdidik ialah diri yang mampu mengenalpasti dan membezakan antara yang benar dan yang batil. Diri yang terdidik ialah diri yang kenal dan akur akan matlamat hidup dan wujudnya. Diri yang terdidik ialah diri yang sempurna kefahamannya terhadap ilmu-ilmu dan sempura pula akhlak dan peribadinya. Diri-diri yang terdidik membentuk masyarakat yang mengenali dan melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang seterusnya membetuk satu tamadun unggul yang akhirnya dijelmakan dalam bentuk khazanah keilmuan dan kebudayaan dan kesenian, lantas mencerminkan suatu bentuk keindahan murni yang juga membayangkan
hakikat keindahan dan kehalusan Yang Maha Agung.

Sebagaimana luas dan dalamnya erti pendidikan itu maka besar dan berat pulalah tanggungjawab para pendidik dalam mendidik diri-diri menjadi insan-insan yang sempurna akal-budinya. Bukanlah peranan pendidik itu menanam dogma, tetapi melentur dan membentuk dengan hikmah. Bukan keras meminta diikuti, tetapi lembut dan tegas merangsang fikiran. Bukan menyumbat ke kerongkong untuk dimuntahkan semula, tetapi mengenalkan dan memberi ruang. Dan bukan pula membiarkan pemikiran liar egois, tetapi menunjukkan jalan kepada fitrah dan adab-adab dalam menerima dan mempersoal.

Demikianlah besarnya peranan pendidik dalam masyarakat. Maka layaklah pengiktirafan dan penghargaan tinggi diberikan kepada warga pendidik yang bekerja berpenat-lelah tanpa mengenal jemu dalam usaha membina masyarakat dan tamadun. Ikhlaskanlah diri dalam mendidik dan menerima didikan kerana perjalanan menuju kebenaran bermula dengan jiwa yang ikhlas.

0 comments: