bila diri merindui pelukan dan belaian tangan tua itu...

bismillahirrahmanirrahim...
alhamdulillah, hari ni saya telah berjaya menghabiskan paper quantum physics saya yang sesungguhnya hampir 'membunuh' kebanyakan pelajar. apa yang telah saya coretkan di atas kertas jawapan di dalam dewan siang tadi itulah semampu kudrat saya memahami teori2 quantum yang saya kira menyerabutkan kepala saya.

malam sebelum peperiksaan, saya dan aisyah berkira-kira untuk tidur 10 jam setelah tamat kertas quantum kami memandangkan kami hanya tidur kurang 3 jam malam itu. namun, keluar sahaja dari dewan, saya sudah merancang sesuatu yang lain dari perancangan awal. serupa dengan aisyah yang turut membatalkan rancangan tidur kami walhal tirai yang unpenetrate cahaya telah dia pasang seawal jam 5 pagi tadi akibat tidak tahan silauan matahari yang sudah mula memancarkan cahayanya seusai subuh.

saya berkira-kira sama ada mahu ke bandar atau ke beeston-membawa basikal saya untuk service. kasihan basikal saya itu, tayarnya saya kira sudah tidak sekeras awal dahulu. seperti jasad manusia yang memerlukan makanan, itu juga yang perlu saya tunaikan kepada tayar basikal itu. ia perlu diisikan dengan angin untuk melancarkan penunggangan. namun, di saat-saat matahari tegak 90 darjah di atas kepala, tidak sanggup rasanya untuk saya mengayuh jauh ke beeston-yang akhirnya membawa saya ke pusat bandar.

sudah lama saya kira tidak menaiki bas-sejak adanya basikal itu barangkali. ke-sana ke-sini semunya dengan basikal. namun, jarak perjalanan bandar dengan university tidak mengizinkan saya berbasikal. untuk ke bandar, tidak lama saya perlu menunggu bas. dalam masa 5 minit sahaja, saya sudahpun siap membayar tambang kepada pakcik pemandu bas yang sentiasa tersenyum mesra dan tidak lupa mengucapkan 'thank you love' sebaik sahaja menerima wang dari saya. selesai membayar tambang, mata saya melilau-lilau mencari tempat kosong, yang akhirnya ketemui-di sisi seorang nenek yang usianya barangkali mencecah 60-an.

mata saya tidak tertumpu pada perjalanan, namun lebih tertumpu pada penumpang-penumpang lain yang rata-ratanya warga emas-seperti ada rombongan khas mereka ke bandar tengah hari itu. melihat raut wajah-wajah tua, yang terkadang sayu itu membuatkan saya merindukan kasih dan belaian dari warga-warga itu. mahu sahaja saya dakap nenek di sebelah saya, namun khuatir dikatakan gila, saya membatalkan hasrat. butir-butir mutiara hampir berguguran bila mengenangkan kasih sayang dan belaian insan-insan seusia itu untuk membesarkan saya. terasa damai berada dalam pelukan kasih mereka. cukup menenangkan.

teringat akan saya lewat perbualan di telefon bersama nenda saya di kampung pagi sejam sebelum peperiksaan saya bermula-meminta dia mendoakan saya. terbayang-bayang kemesraannya. ahhh-saya sudah teramat rindu padanya. tidak sabar untuk saya pulang ke tanah air untuk mencium dan mendakap tubuh kecil nenda saya seerat mungkin dan sepuas hati. tubuh kecil itulah yang menjaga saya sewaktu kecil bilamana ibu bapa saya pergi menunaikan haji. bersama nenda lah saya menghabiskan hampir setiap kali cuti sekolah rendah saya dengan gembira. tangan nenda lah yang menjahitkan baju kurung, sarung bantal dan apa sahaja yang saya ingini ketika kecil. dialah nenda yang amat saya kasihi seluruh jiwa saya.

namun, semakin saya meningkat remaja, semakin tegar untuk saya mengikut ibu pulang ke kampung. berbagai alasan saya lontarkan terutama sibuk belajar dan letih di asrama. seolah-olah ketika itu saya hampir lupa segala kenangan manis di kampung. ibu masih bersabar denga keletah saya, sehingga di suatu hari ibu mengingatkan saya, tanpa datuk dan nenek saya itu, tidak mungkin akan ada saya di dunia ini. agak keras peringatan itu saya kira, namun cuma bisa mencairkan hati untuk saya pulang ke kampung, namun tidak untuk semesra dahulu bersama nenda. ketika itu, mungkin hati masih dalam usia memberontak-hanya memeluk nenda sebagai syarat-seperti kebiasaan, bukan kerana aliran kasih sayang yang menjalar dalam diri.

sewaktu ingin meninggalkan bumi malaysia lebih kurang hampir dua tahun lepas, ibu saya ada mengingatkan tentang ajal yang bila-bila sahaja pasti kan menjemput manusia. namun, ketika itu saya bagaikan tidak tersentuh bila memikirkan bahawa saya tidak kan ketemu datuk dan nenek saya andai Allah mentakdirkan ajal mereka telah sampai disebabkan jarak yang jauh uk-malaysia. namun, kuasa Allah, bila sahaja jauh di perantaun, baru saya terasa penangan kasih sayang mereka. sungguh terkesan apabila terpandangkan pemandangan yang mendamaikan-hubungan mesra nenek dan cucunya di taman-taman permainan. sungguh hati ini cemburu untuk menikmati kembali saat-saat itu.

dengan dua minggu yang saya ada di malaysia cuti musim panas nanti, dengan izin Allah, saya berharap untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama datuk dan nenek saya. akan saya pinta ibu bapa saya mengambil mereka di perak untuk tinggal bersama kami di kedah sementara cuti saya. saya tidak mahu mensia-siakan kasih sayang mereka di saat umur mereka sudah lanjut. saya mahu abadikan kasih sayang saya kepada nenda sebelum matanya rapat terpejam sepertimana saya mengabadikannya semasa saya masih anak-anak. biarlah kasih ini terzahirkan sebelum segalanya masih belum terlewat...

Ya Allah, izinkanlah aku mengabadikan kasih sayang ini sebelum mereka pergi menghadapMu...ameen

0 comments: