Sambungan cerpen 1

Sambungan cerpen 1...


Di suatu ketika, dia berpergian sendiri-sendiri. Ke suatu daerah yang jauh dari tempatnya. Perginya untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu dari saudara-saudaranya yang jauh lebih matang di jalan yang berliku itu. Perginya tidak bersama kawan-kawan biasanya. Sendirian, tapi tidak asing dia di situ. Sekelilingnya semua saudara seaqidahnya. Dia suka akan ikatan aqidah itu. Ikatan yang membuatkan persaudaraan manusia itu tidak mempunyai batas dan penghujung. Persaudaraan yang tidak mengenal rupa, bangsa, warna kulit, mahupun darjat seseorang manusia.

Dia ingat firman dari Tuhannya, “Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.” (Al-Hujurat:49).

Dia tahu Allah tidak memandang apa yang manusia pandang. Pangkat, status, harta, rupa, semuanya tiada nilai disisi Allah. Ingin sekali dia menjadi orang yang bertaqwa yang sentiasa Allah sebut-sebutkan berulang kali di dalam KalamNya yang agung itu. Dia ingin memiliki ketaqwaan seperti Siti Khadijah, yang taqwanya kepada Allah tinggi menggunung. Lantas, dia pahatkan cita-cita barunya itu teguh di sanubari, tidak mahu goyah walau apa terjadi, melengkapkan lagi cita-citanya ketika dia masih anak kecil dan menguatkan lagi tekad yang dipasangnya ketika mula memahami islam.

Dua hari mengutip mutiara ilmu di daerah asing itu membuatkan dia lebih yakin dan tabah untuk menghadapi jalan yang penuh liku itu. Sepanjang dua hari itu, dia dan peserta-peserta lain tidak dibenarkan menggunakan nama yang telah tercatat dalam sijil kelahirannya. Diwajibkan ke atas mereka untuk menggunakan nama tokoh-tokoh dalam islam yang besar jasanya sebagai mengenang pengorbanan mereka membawa islam ke mata dunia.

Permintaan itu disahut dengan senyum lebar olehnya. Nama wanita tulang belakang utama Rasulullah itu dipilih untuk menjadi nama samarannya. Terkenang olehnya bagaimana pernah satu ketika semasa zaman kanak-kanak, betapa terkesannya nama isteri Rasulullah itu dalam hidupnya, dia terfikir untuk menukar namanya kepada nama srikandi itu. Kini angan-angannya hampir menjadi kenyataan biarpun nama itu tidak ditukar untuk sepanjang hayatnya. Bertambah lebar senyumnya.

Tahannya senyuman itu cuma seketika. Angannya untuk menggunakan nama itu terpaksa dia undur semula. Rela dia mengalah demi saudaranya yang lain. Meneruskan kedegilannya bererti mewujudkan tiga Siti Khadijah dalam tempoh masa dua hari aktiviti itu. Buntu seketika. Perlu memikirkan nama lain pula. Kedengaran oleh dia sana sini gelak tawa gembira saudara-saudaranya yang lain bersama nama-nama srikandi islam ulung meniti di bibir.

“Tidak memiliki nama itu, tidak harus bersedih.” Semacam satu semangat tiba-tiba menyusup meredakan laranya. Lantas, nama wanita pertama yang Allah ciptakan dari rusuk kiri Adam dipilih sebagai ganti. Hawa. Itu pilihannya. Ringkas tetapi lembut sebutannya. Dia tetap bahagia biarpun bukan Khadijah yang disebut bila memanggilnya. Malah berbunga hatinya bila ada yang menyatakan raut wajahnya sesuai sekali dengan nama Hawa itu. Jauh di sudut hatinya mengakui biarpun jasadnya ‘Hawa’ namun semangat Siti Khadijah masih mengalir kuat dalam setiap aliran darahnya dan degup nadinya.

Dua hari mengutip pengalaman di daerah asing itu membuatkannya lebih bersemangat untuk bekerja. Melihatkan sahaja bagaimana saudara-saudaranya dari daerah itu bekerja menyedarkan manusia kembali kepada islam membuatkannya seolah-olah terjaga dari tidur. Terasa olehnya betapa banyak sekali rehatnya, sedikit sekali usahanya untuk agama ini. Tekadnya, bila pulang ke daerah juangnya nanti, akan dia kerah seluruh tenaganya untuk agama ini. Tekadnya juga, untuk lebih laju bergerak mengajak manusia menghayati agama ini. Tekadnya juga untuk tidak berputus asa menyeru manusia.

Bersambung...

2 comments:

  Anonymous

24 October 2007 at 19:16

meleret mcm ni..novel namanya.. plot pn berkembang dengan sangat lambat.

  nor dalila

24 October 2007 at 19:18

ngehehe mmg slalu fail menulis cerpen...sbb slalu termeleret-meleret last2 maleh nak ngabehkan.