Ramadhan Kareem...


Alhamdulillah, segala pujian syukur hanya layak bagi Allah Azzawajalla yang mengizinkan saya bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan dan keampunan ini. Terngiang-ngiang kata-kata Ustaz Maszlee ketika kami melawatnya di Durham minggu lepas. Tazkirah ringkasnya cukup mengobarkan semangat saya untuk menjadikan Ramadhan kali ini sebagai yang terbaik.

Sesungguhnya, Ramadhan yang terbaik adalah seperti mana Ramadhan yang Rasulullah dan para sahabat sambut. Persiapan menyambut bulan mulia ini dibuat seawal 6 bulan sebelum kedatangan Ramadhan dan kesan Ramadhan itu sendiri dapat dirasai 6 bulan selepas berlalunya bulan ini. Malahan Rasulullah dan para sahabat menunjukkan semangat untuk menyambut Ramadhan dengan banyaknya berpuasa di bulan Syaaban. Terasa kerdil diri bila membandingkan cara saya menyambut Ramadhan dengan cara Rasulullah dan para sahabat.

Semoga Ramadhan yang sudah satu hari berlalu ini akan terus digegarkan dengan pesta-pesta ibadah kita. Sungguh besar peluang untuk kita menyucikan diri pada bulan yang penuh dengan keampunan dan rahmat Allah ini. Banyakkan membaca al-quran secara berjemaah (bertadarrus), bersedeqah, bertaubat, berzikir, solat-solat sunat, bangun malam bermunajat kepadaNya sebelum atau selepas bersahur dan membuat amal-amal kebajikan yang lain, manakala di sepuluh malam terakhir Ramadhan, memburu-burulah lailatul qadar. Sesungguhnya satu malam lailatul qadar itu bersamaan dengan 1000 bulan seperti firman Allah dalam surah al-qadr.

Semoga amalan-amalan ini akan berterusan walaupun Ramadhan sudah meninggalkan kita. Peluang bertemu bulan yang penuh rahmat dan keampunan ini hanya sekali dalam setahun, dan hanya Allah yang Maha Mengetahui sama ada kita masih dapat mengecapi nikmat Ramadhan pada tahun berikutnya.

Wallahualam

1 Ramadhan 1428H

0 comments: