sebuah kepulangan

Lama saya tidak menulis... terlalu sibuk ketika berada di malaysia. tidak pernah saya merasa sebahagia ini ketika pulangnya ke tanah air. malam pertama saya pulang, disambut meriah oleh sanak saudara jauh dan dekat yang menunggu sambil menyiapkan buah telur dan buah tangan untuk kenduri keesokan hari. penat perjalanan sangatlah terasa namun semangat untuk bersama-sama menyiapkan buah tangan melebihi kelelahan perjalanan penerbangan 13 jam. akhirnya, di kala jam berdenting 5 kali menandakan tepat jam 5 pagi, hanya saya seorang yang masih tinggal dan menyiapkan mana yang termampu. otak saya nampaknya masih belum disetkan dengan waktu tidur malaysia. usai menghadapNya di subuh hari, saya bergegas masuk ke kamar peraduan setelah menggerakkan mama untuk solat. pesan saya pada mama untuk mengejutkan saya dari tidur jam 8.30 pagi untuk persiapan kenduri. keletihan membelit diri, membuatkan saya tidak mampu membuka walau sepicing pun mata tatkala mama mengejutkan saya dari lena.

melihatkan suasana rumah tatkala terjaganya dari lena yang singkat itu membuatkan saya kelam kabut membersihkan diri dan bersiap seadanya. tetamu sudah mula memenuhi ruang legar di hadapan rumah berteduh di bawah khemah yang tegak berdiri bersama dengan hidangan yang membuatkan setiap perut minta diisi. mana tidaknya, di samping lauk-pauk kenduri yang membuka selera, mama telah menyediakan laksa hasil gabungan tangannya dan ibu saudara saya untuk para tetamu. kagum saya dengan mama kerana sanggup menyediakan laksa untuk 500 orang tetamu sedangkan rumah kami hanya sepelaung dari kedai laksa telok kechai. tidak sampai tengah hari, kuah laksa tersebut kelihatan surut sekali dari periuknya. nasib baik saya dan adik sempat membaham 2 mangkuk sebelum berputih mata. nampaknya terpaksa juga kami membeli laksa dari kedai laksa berdekatan.

alhamdulillah, rakan taulan dan sanak saudara berpuas hati dengan lauk pauk yang disediakan sehinggakan saya sendiri menambah 2 kali. lauknya, seperti kebiasaan kenduri lain- acar buah, ikan 3 rasa, daging masak kicap, gulai daging dan tidak kurang istimewa-bubur pulut hitam. tidak cukup dengan hidangan di khemah para tetamu, saya dan adik sempat menjamah hidangan yang disediakan untuk pengantin memandangkan pengantin hanya menjamah sedikit sahaja makanan yang disediakan. tak terungkap perasaan gembira tatkala melihat wajah kakak ipar baru saya ketika kami sama-sama mengambil gambar kenangan bersama. berkeping-keping gambar dirakam bersama saudara mara dan tidak lupa juga atuk dan opah yang jauh datang.

bertambahlah seorang ahli keluarga saya sekarang. tak terungkat dengan kata-kata bagaimana gembiranya saya dengan penambahan tersebut. selama ini mungkin saya sunyi di rumah-teramat sunyinya. dengan abah, mama dan abang yang keluar bekerja, dan adik yang belajar dan tinggal di asrama meninggalkan saya keseorangan di rumah. kini, saya sudah ada teman untuk berbicara , dan membantu saya meyiapkan kerja-kerja rumah tentunya selepas bibik kami pulang ke indonesia sebaik sahaja tamat kenduri abang. dan kakak ipar saya jugalah yang sentiasa menemani saya untuk keluar membeli barang keperluan sebelum pulang ke sini.

kini, saya sudah pulang ke bumi tempat saya berjuang. rasa rindu pada rumah ternyata telah terbit tatkala saya cuba melelapkan mata di dalam penerbangan terutama sekali pada mama. ingin sekali saya pulang lagi sekali sebelum saya memulakan kembali persekolahan. namun, bertemankan keletah rakan-rakan di tanah tempat saya berjuang ini telah menguatkan kembali semangat saya untuk terus menimba ilmu di sini dan membawa pulang mutiara-mutiara berharga tahun hadapan. insyaAllah.

Untuk mama dan abah, anakmu terlalu rindu untuk terus berada di sisimu. Sentiasalah doakan kesejahteraanku di sini. Kan ku bawa pulang cinta ini tahun hadapan. :'(